Hari ini genaplah 3 bulan 28 hari anak saya, Sara Humaira dilahirkan. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, saya dan isteri dikurniakan anak dalam tempoh lebih kurang setahun dari tarikh perkahwinan. Ini mengingatkan saya pada rakan-rakan yang masih belum dikurniakan zuriat walaupun umur perkahwinan mereka boleh dikatakan sudah terlalu lama. Ada perasaan sayu pada riak wajah dan suara mereka bila menceritakan perkara tersebut.
Sebagai seorang muslim, anugerah anak yang dikurniakan oleh Allah disambut dengan kesyukuran di samping bersedia untuk membimbingnya menjadi insan yang mulia. Ini merupakan satu amanah yang besar ke atas diri ini dan isteri. Amanah yang akan dipertanggungjawabkan di Hari Perhitungan kelak.
Dalam tempoh ini juga, saya dapat melihat rasa kasih di dalam isteri saya. Semangat dan azamnya untuk memberikan yang terbaik begitu membanggakan saya. Saya melihat bagaimana dia begitu bersungguh-sungguh untuk menyusukan anak kami dengan susunya sendiri. Ini bukan kerja mudah kerana ramai juga yang gagal berbuat sedemikian apabila mula bekerja setelah habis berpantang. Kepada isteriku, "Terima Kasih kuucapkan".